Tidak jarang kita mendengar suara-suara yang mengatakan agama Islam itu terlalu susah, jumud, ketinggalan zaman dan bermacam-macam lagi tohmahan yang dilontarkan kepada agama Islam.
Segala tohmahan dan tuduhan tersebut sedikit pun tidak menggoyangkan apalagi meruntuhkan kepercayaan para penganut agama Islam yang benar-benar mendalami ilmu agamanya.
Secara lumrahnya manusia itu sendiri sering memilih perkara yang mudah bagi dirinya. Contohnya, kalau sekiranya dalam perjalanan menaiki kenderaan ada dua jalan untuk sampai kepadanya, satu jalan berturap atau beraspal manakala satu lagi jalan hanya tanah merah berlumpur serta berlubang-lubang, manakah jalan yang akan kita pilih untuk melaluinya? Sudah tentulah jalan yang baik lagi elok serta memudahkan.
Maka demikianlah agama Islam, yang merupakan agama yang sederhana, pertengahan dan memudahkan.
Firman Allah:
وما جعل عليكم في الدين من حرج
"Dan Allah (sekali-kali) tidak menjadikan ke atas kamu dalam agama suatukesempitan." (Al-Hajj: 78)
Dan banyak lagi ayat-ayat semisal di atas yang menjelaskan tentang mudahnya agama Islam.
Firman Allah:
لا يكلف الله نفسا الا وسعها
"Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya." (Al-Baqarah: 286)
Bahkan Nabi s.a.w apabila diberi pilihan diantara dua perkara, maka baginda akan memilih yang paling mudah diantara keduanya selagimana ia tidak membawa kepada dosa.
Aisyah r.aha pernah berkata:
ما خير النبي صلى الله عليه وسلم بين أمرين إلا اختار أيسرهما ما لم يأثم
"Tidaklah Rasulullah s.a.w jika diberi dua pilihan kecuali baginda akan memilih yang paling mudah diantaranya selagi tidak mengandungi dosa." (HR. Bukhari)
Ini selari dengan apa yang disabdakan oleh baginda s.a.w sendiri bahawa:
إن الدين يسر
"Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah..." (HR. Al-Bukhari)
Insyallah contoh-contoh kemudahan yang terdapat dalam agama Islam ini akan dipaparknan dalam tulisan-tulisan berikut ini, dengan izin Allah.
Mohd Safwan b. Mohd Rusydi
Kota Kinabalu, Sabah.
Kota Kinabalu, Sabah.
No comments:
Post a Comment